Ilmu dan Amal Penjana Iman

Pemantapan Iman & Pembentukan Sahsiah

Bebasnya pembunuh Malcolm X

Posted by abusyameel on May 5, 2010

Pejuang hak asasi kulit hitam Malcolm X telah dibunuh 45 tahun lalu. Pembunuhan ini dianggap kejayaan usaha melenyapkan perjuangan menuntut hak kalangan orang kulit hitam di Amerika Syarikat (AS) selepas gerakan besar-besaran dekad 1960-an.

AS memperagakan dirinya sebagai negara yang menjulang tinggi hak asasi manusia. Semua perkara mahu dilihat dari laras hak asasi termasuk mencampuri hal ehwal negara lain yang dianggap memijak hak asasi. Tetapi tragedi yang menimpa seorang pejuang hak asasi seperti Malcolm X tidak terbela selayaknya.

Rabu lalu pembunuh yang menembak mati Malcolm X di Harlem pada 21 Februari 1965 telah dibebaskan, walaupun di atas kertas dikatakan parole. Parole adalah pembebasan bersyarat dan dipantau oleh pihak penjara.

Pembebasan Thomas Hagan yang kini berusia 69 tahun dianggap memijak perjuangan hak asasi yang selama ini dilaung-laungkan oleh AS. Kerana itu banyak pihak terutama kalangan kulit hitam menganggap pembebasan Hagan tidak wajar berlaku di negara yang kononnya memperjuangkan hak asasi.

Malah pembebasan itu juga memperlihatkan Malcolm X seorang Islam yang kurang disenangi oleh AS. Bukan hanya dia pejuang hak asasi tetapi seorang Islam yang sangat berpengaruh hingga boleh membina satu gerakan massa dekad 1960-an. Biarpun dalam catatan sejarah pembunuhan itu berpunca dari perpecahan pergerakan Nation of Islam tetapi agenda lain adalah kerana Malcolm X seorang pejuang, beliau juga seorang Islam.

Banyak agensi berita Barat melaporkan Hagan dipenjara selama 45 tahun. Tetapi hanya segelintir saja yang melaporkan “keistimewaan” yang diberikan kepada pembunuh ini oleh pihak berkuasa Penjara Manhattan. Malah banyak agensi berita Barat juga memberikan gambaran kesukaran untuk Hagan mendapat parole kerana ini adalah rayuannya kali ke 18.

Realitinya Hagan hanya dipenjarakan yakni dikurung selama 23 tahun saja. Sementara 22 tahun hingga diberikan pembebasan parole Hagan sudah diletakkan bawah satu program pembebasan. Siapa tahu bahawa selama 22 tahun itu Hagan hanya bermalam dua kali seminggu di Penjara Manhattan sementara lima hari lagi dia bersama keluarganya.

Pengarah Eksekutif Pertubuhan Afro-Amerika, James Small memberitahu agensi berita BBC, “Pembunuh Malcolm X wajar dipenjara hingga mati.” Walaupun Hagan berulang kali meluahkan kekesalan kerana terlibat dalam pembunuhan itu, kalangan kulit hitam Islam menganggap dia tidak diberikan balasan yang setimpal.

Hagan dikatakan satu-satunya pembunuh yang mengaku menembak Malcolm X ketika sedang berucap di Harlem. Malah dia juga mengaku bahawa dua tertuduh lagi tidak terlibat membunuh Malcolm X. Kedua- dua penjenayah itu telah diberikan pembebasan parole pada 1980.

Membebaskan

Sebenarnya AS telah lama membebaskan pembunuh pejuang hak asasi sekalipun di luar AS negara ini menonjolkan diri sebagai tempat yang menjunjung hak asasi. Buktinya sudah 22 tahun pembunuh Malcolm X dibebaskan walaupun memegang status banduan selama 45 tahun. Semua ini memperlihatkan pembunuhan Malcolm X bukan hanya kerana pergeseran antara Malcolm X dengan pemimpin utama Nation of Islam, Elijah Muhammad. Tetapi pembunuhan juga disebabkan kelantangan Malcolm X memperjuangkan kedudukan golongan kulit hitam yang tertindas di negara hak asasi ini.

Buktinya Malcolm X pernah menggambarkan pemimpin- pemimpin kulit putih AS sebagai “syaitan bermata biru” dalam banyak ucapan-ucapan sekaligus menggerakkan kesedaran kalangan kulit hitam. Maka membebaskan pembunuh yang sepatutnya dipenjarakan sepanjang hayat adalah pencabulan AS terhadap prinsip hak asasinya sendiri.

Banyak kisah tentang pertentangan pergerakan kulit hitam dengan pemimpin kulit putih tidak diperkatakan. Apa lagi Malcolm X seorang Islam telah dibunuh oleh seorang Islam dalam pergerakan yang sama iaitu Nation of Islam. Jadi, ini seolah-olah memperlihatkan pembunuhan bukan disebabkan pergerakan hak asasi tetapi pertelingkahan dalaman Nation of Islam.

Pergerakan massa dekad 1960-an khususnya golongan kulit hitam yang beragama Islam memang berpengaruh. Semua ini digerakkan oleh Nation of Islam di mana Malcolm X salah seorang penggeraknya. Tetapi selepas Malcolm X kembali dari menunaikan haji, pegangan dan prinsip antara Malcolm X dan Elijah Muhammad bertentangan. Malcolm X menjauhkan diri dari Nation of Islam dan dianggap oleh puak ekstrem kepada Elijah Muhammad sebagai memecahkan pergerakan itu.

Banyak desas-desus mengaitkan penglibatan CIA yang membawa kepada pembunuhan Malcolm X. Bagaimanapun kerana pergerakan kulit hitam sangat terbatas, dakwaan pembunuhan itu didalangi oleh CIA hilang begitu saja. Tetapi kalau dilihat tragedi pengeboman rumah Malcolm X seminggu sebelum dibunuh di Harlem, tentu sukar untuk menolak penglibatan CIA.

Lalu yang kelihatan dalam catatan sejarah dunia sekarang adalah pertelingkahan antara Malcolm X dengan Elijah Muhammad membawa kepada pembunuhan itu. Semua ini dengan sendirinya mengenepikan faktor-faktor arus massa yang digerakkan oleh Malcolm X khususnya yang Islam tentang hak-hak mereka di AS. Maka AS tetap kelihatan memperjuangkan hak asasi manusia kerana keupayaan mengalih tragedi pembunuhan Malcolm X bukan tragedi hak asasi. Kata pemimpin kulit putih atau “syaitan bermata biru” pembunuhan itu adalah salah faham dalaman sebuah pertubuhan agama.

Tetapi kenapa pula ketiga-tiga yang didakwa membunuh Malcolm X dan seorang mengakui melakukannya diberi keistimewaan? Hagan mungkin mempunyai cerita menarik mengenai Penjara Manhattan yang mempunyai program membolehkan premis itu dijadikan seperti hotel oleh banduan yang terpilih. Hagan telah menikmati keistimewaan itu walaupun dia baru saja diberikan parole.

Sumber: Utusan Online

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: