Ilmu dan Amal Penjana Iman

Pemantapan Iman & Pembentukan Sahsiah

PMR 2009 : Suka Atau Duka

Posted by abusyameel on December 23, 2009

BISMILLAH…
Esok 24 Disember 2009 merupakan hari penting bagi calon-calon PMR  2009. Tarikh tersebut  ditunggu dengan penuh debaran sama ada kejayaan yang diimpikan akan menjadi kenyataan atau kegagalan yang dicatatkan. Tarikh ini ialah tarikh keputusan PMR 2009 akan diumumkan.

Bagi pelajar yang tiada komitmen dalam pelajaran mungkin tidak merasai debaran atau kebimbangan sedikit pun dihatinya. Namun bagi pelajar yang bertungkus-lumus dan berusaha dengan segala keupayaan pastinya tidak dapat tidur lena pada malam ini. Inilah masa untuk menuai hasil setelah pengorbanan yang memang memenatkan dengan masa yang banyak  dihabiskan dan  tenaga yang digunakan bertujuan untuk mencatat kegemilangan dalam akademik seterusnya untuk mengembirakan kedua orang tua, saudara-mara serta guru-guru.
 Apa pun keputusan yang akan diperolehi sama ada kejayaan atau kegagalan, terimalah seadanya. Setiap ketentuan Ilahi adalah yang terbaik untuk anda. Allah tidak pernah menzalimi hamba-hambaNya walau sedikit pun.
 Sekiranya anda memperolehi kejayaan sebagaimana yang diharapkan, bersyukurlah. Jangan lalai dan alpa kepada Pemberi kejayaan iaitu Allah. Jangan sombong serta lupa diri. Ingatlah bahawa anda tidak akan mendapat kejayaan itu tanpa usaha dan pengorbanan ibu bapa serta guru-guru. Berterima kasihlah kepada mereka kerana merealisasikan cita-cita anda.Tingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah sebagai mensyukuri nikmat tersebut.
Seandainya keputusan anda tersasar dan  tidak seperti yang diidam-idamkan, janganlah terlalu bersedih. Itulah yang terbaik untuk anda daripada Allah SWT Yang Maha Bijaksana. PMR bukanlah segala-galanya. Jangan berputus asa kerana  peluang masih ada untuk anda. Jadikan kegagalan  ini sebagai pengajaran dan kumpulkan semangat dan kekuatan untuk mencapai kecemerlangan yang lebih bermakna iaitu SPM yang akan datang.
Kita mesti memahami bahawa kehidupan ini adalah medan ujian daripada Allah SWT. Kejayaan dan kegagalan adalah ujian daripadaNya untuk mengenalpasti amalan yang terbaik dari kalangan hamba-hambaNya. Firman Allah SWT dalam surah al-Mulk, ayat 2 yang bermaksud.
“ ( Dialah ) yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun”.
Sesiapa yang memahami hakikat ini maka sekiranya kejayaan yang diperolehi dia akan bersyukur dan meningkatkan keimanannya sebagai berterima kasih kepadaNya. Sekiranya kegagalan yang dicatat maka hendaklah reda, bersabar dan tabah.  Muhasabah dan ambil iktibar daripada kegagalan ini. Jangan berputus asa, jangan terlalu kecewa kerana ini adalah ujian Allah. Sesiapa yang bersabar dan reda maka dia telah lulus ujian  di sisi Allah SWT.
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : Orang mukmin sungguh mengkagumkan. Sesungguhnya urusannya sentiasa memberi kebaikan kepadanya. Ini tidak berlaku kecuali hanya kepada orang mukmin. Sekiranya dia mendapat kesenangan, dia bersyukur maka dia mendapat kebaikan. Sekiranya dia ditimpa kesusahan, dia bersabar maka dia juga mendapat kebaikan. ( Riwayat Imam Muslim )
Sabda rasulullah saw ini patut dijadikan panduan dan pedoman kepada kita agar sentiasa menyedari bahawa setiap saat dan ketika kita sebenarnya berdepan dengan ujian dan cubaan daripada Allah SWT. Apa yang perlu kita lakukan ialah bersyukur bila mendapat nikmat dan reda serta bersabar bila ditimpa kesusahan. Dengan itu ganjaran pahala dan redaNya akan menjadi milik kita.
WALLAHU TA’ALA A’LAM

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: