Ilmu dan Amal Penjana Iman

Pemantapan Iman & Pembentukan Sahsiah

Archive for the ‘info Bahasa Arab’ Category

Terkini : Perubahan Format bahasa Arab PMR 2010

Posted by abusyameel on April 13, 2010

Setelah sekian lama menunggu keputusan daripada pihak LPM mengenai perubahan format bahasa arab PMR 2010,maka pada hari khamis lepas semuanya telah terjawab dalam mesyuarat penyelarasan pentaksiran Bahasa Arab. Guru yang baru pulang daripada taklimat penataran format bahasa arab PMR 2010 menyatakan bahawa kertas bahasa arab PMR 2010 menggunakan 100% FORMAT LAMA. Format baru hanya dimulakan pada tahun 2011.

Keputusan ini menyebabkan semua guru bahasa arab bising,tidak berpuashati dan kecewa kerana calon PMR sekarang telah diajar sejak tingkatan satu menggunakan format baru iaitu 100% jawab dalam bahasa arab,terdapat bahagian qawaid,hikam wal amthal dan karangan pendek dalam bahasa arab. Bayangkan cuma dalam masa lima bulan sahaja mereka terpaksa belajar menggunakan format lama yang mereka belum pernah belajar sebelum ini.

Pelajar berasa amat sukar kerana soalan pemahaman dijawab dalam tulisan jawi ( sebanyak tiga soalan dengan 50 markah) sedangkan apa yang dipelajari sebelum ini teks tersebut dijawab dalam bahasa arab.
walaupun format lama yang digunakan namun pihak LPM menegaskan bahawa isi kandungan buku teks tetap akan diambil kira dalam peperiksaan. Dengan kata lain jangan sekali-kali mengabaikan buku teks dari tingkatan satu hingga tiga. Kemungkinan soalan pemahaman dan terjemahan akan diambil daripada buku teks.

Kepada calon PMR yang telah menghafal kata-kata hikmah dan perumpamaan jangan anda kata rugi kerana ia masih relevan dan akan disoal dalam soalan bahagian c iaitu bahagian terjemahan. Di sini dinyatakan rangka soalan peperiksaan format lama ;

BAHAGIAN A : ( 50 markah)

Soalan 1 : soalan pemahaman dijawab jawi ( 20 markah)
Soalan 2: soalan pemahaman dijawab jawi ( 15 markah)
Soalan 3: soalan pemahaman dijawab jawi ( 15 markah)

Bahagian inilah paling sukar dan paling banyak pelajar kehilangan markah kerana tidak mampu memahami teks dan menterjemah ke bahasa melayu sedangkan ia mewakili 50 markah.

BAHAGIAN B ( 30 markah)

Soalan 4 : hiwar ( 10 markah)
Soalan 5: Bina ayat berpandukan gambar ( 10 markah)
Soalan 6 : bina ayat berdasarkan iklan/carta (10 markah)

Bahagian ini agak mudah untuk mendapat markah kecuali pelajar tidak menguasai makna-makna perkataan dalam hiwar dan sebagainya.

BAHAGIAN C :

Soalan 7 : Terjemahan ke Bahasa Arab ( 10 markah)
Soalan 8 : Terjemahan ke Bahasa Melayu ( 10 markah)

Bahagian ini juga agak mudah untuk mendapat markah bagi pelajar yang banyak menguasai banyak perbendaharaan kata bahasa arab.

Oleh itu calon-calon dikehendaki menghafal dan mengingati tharwah sebanyak mungkin dan kuasai betul-betul teknik menjawab soalan. Perkara ini akan membantu anda untuk skor A kertas bahasa arab PMR nanti.
Walaupun penulis juga amat tidak berpuashati dengan keputusan LPM namun kita terpaksa akur dan menerima ketentuan tersebut. Terdapat hikmat yang tersembunyi di sebaliknya yang akan memberi manfaat dan kebaikan kepada calon-calon.

Sila rujuk teknik menjawab :

Soalan hiwar ;
http://pbasmkps.blogspot.com/2010/03/tutorial-2-menjawab-soalan-hiwar.html

Soalan pemahaman :
http://pbasmkps.blogspot.com/2010/03/tips-menjawab-soalan-kefahaman.html#more

Soalan bina ayat bergambar ;
http://pbasmkps.blogspot.com/2010/01/tips-menjawab-soalan-bina-ayat.html#more

Rujuk juga soalan-soalan yang telah disediakan di bahagian BANK SOALAN untuk latih tubi. Semoga bermanfaat.

Posted in info Bahasa Arab | 5 Comments »

NASIHAT KHAS KEPADA CALON B. ARAB PMR 2010

Posted by abusyameel on December 8, 2009


BISMILLAH…

Sebagaimana yang diketahui bahawa bermula tahun depan Bahasa Arab akan berubah wajah ( lihat sini )dengan format baru. Sebagai persiapan menghadapi format baru ini, ustaz ingin menasihatkan pelajar semua agar :

1. Memiliki buku teks B. Arab tingkatan satu, dua dan tiga. Jadikan buku-buku itu milik kekal anda. Buku teks tersebut hendaklah dibeli kerana buku teks yang dipinjamkan oleh pihak sekolah wajb dihantar sedangkan soalan PMR format baru ini betul-betul berpandukan buku-buku teks tersebut. Walau pun nota-nota anda lengkap sekali pun pastinya inti kandungan buku teks ada yang tertinggal.

2. setelah mempunyai buku teks tersebut, para pelajar hendaklah mengingati seberapa banyak makna perkataan yang terdapat di dalamnya atau dengan kata lain menguasai tharwah lughawiyyah ( الثَرْوَةُ اللُغَوِيَّة )/ perbendaharaan kata. Sebenarnya inilah asas kejayaan cemerlang kertas Bahas Arab pada semua peringkat. Manfaatkan masa dalam cuti yang masih berbaki lagi dan cara untuk menghafal, lihat sini

3. Ulangkaji balik semua tajuk bahagian al-Qawaid al-Nahwiyah ( tatabahasa ) dan pastikan memahaminya dengan baik. Soalan bahagian Qawaid ini merupakan salah satu perkara baru dalam format Bahasa Arab 2010. Ustaz akan menerangkan semua tajuk qawaid dalam tutorial nanti. Sesiapa yang kurang memahami sesuatu topik boleh memaklumkan kepada ustaz agar dibuat tutorial. Ustaz akan membantu sekadar ilmu yang ada, insya Allah.

4. Kumpulkan kalimah seerti ( المَعَانِي / المُفْرَدَات ) dan berlawanan ( المُضَادَّات ) dalam buku nota khas dan menghafalnya. Soalan berbentuk memberikan perkataan seerti dan berlawanan ini boleh menyebabkan anda banyak kehilangan markah. Oleh itu buatlah persiapan awal untuk menangani soalan seperti ini.

5. Kumpul kata-kata hikmah, perumpamaan, nas syi’ir dan nas al-quran serta menghafalnya sehingga mantap dari segi baris, makna dan pengajarannya.

6. Kuasai kiraan bilangan dan nombor ( العَدَدُ والأَرْقَام ). Pastikan anda mengingati nombor yang dipelajari sejak tingkatan satu hingga kini. Beri perhatian bahagian bilangan biasa ( العَدَدُ ), bilangan tertib ( العَدَدُ التَرْتِيبِيُّ ) dan nombor untuk menerangkan pukul ( waktu ).

7. Berlatih membina ayat dalam Bahasa Arab. Perkara ini amat penting untuk menjawab soalan kertas dua bahagian karangan yang menjanjikan 20 markah. Jangan takut salah dari segi nahu dan belajarlah daripada kesilapan. untuk kemahiran membina ayat anda mesti menguasai perubahan pada kata kerja ( الفِعْلُ ) bersama pelakunya ( الفَاعِل ) dan kaya “tharwah”.

Tujuh perkara yang disebutkan di atas amat penting bagi pelajar untuk mencapai kecemerlangan dalam mata pelajaran Bahasa Arab PMR format baru. Semoga perkara ini dapat membantu dan memberi manfaat kepada pelajar.

WALLAHU TA’ALA A’LAM

Posted in info Bahasa Arab | Leave a Comment »

SETELAH BERPENAT LELAH…

Posted by abusyameel on November 23, 2009

Dipetik daripada laman http://ceria.my/proquransunnah/

Bermula 7 Oktober 2009 calon PMR seluruh negara akan menghadapi peperiksaan PMR setelah tiga tahun menghabiskan pengajian di peringkat sekolah menengah rendah. Saya merupakan seorang guru yang bertanggungjawab mencurahkan ilmu dalam mata pelajaran Bahasa Arab juga berasa amat bimbang.

Setelah berpenat lelah selama sembilan bulan selepas menerima tugasan mengajar B. Arab pada awal tahun, kini anak-anak didik saya akan berjuang dalam ‘peperangan’ yang sebenar. Walaupun dalam peperiksaan percubaan subjek B Arab mencapai keputusan luar biasa dengan SMK Putri Saadong mencatat keputusan terbaik di PPD Bachok iaitu 14 orang mendapat A. Itu hanyalah percubaan.

PMR yang sebenar inilah yang menjadi target utama iaitu target 15 orang mendapat A. walaupun agak mustahil, tapi saya yakin dengan kemampuan anak-anak didik saya. Kesungguhan yang ditunjukkan oleh para pelajar menjanjikan keputusan yang akan mencatat sejarah dalam subjek Bahasa Arab sekurang-kurangnya peringkat SMK Putri Saadong Insya Allah.

Semoga Semua pengujung ProQuran Sunnah dapat mendoakan kejayaan untuk kami dalam peperiksaan nanti.
Jazakumullah

KELAS INTENSIF ( SETIAP PAGI JUMAAT 8.30-11.30 PG)





Posted in info Bahasa Arab | Leave a Comment »

BAHASA ARAB : IMBASAN 2009

Posted by abusyameel on November 22, 2009

tahun 2009 sudah hampir melabuhkan tirainya. di sini saya ingin berkongsi pengalaman tentang perkara yang berkaitan bahasa arab aepanjang tahun 2009 yang penuh dengan suka dan duka.

penulis mula dilantik sebagai ketua panitia b arab pada awal tahun 2009 menggantikan ustazah yang berpindah ke sekolah yang dekat dengan kediamannya di pengkalan chepa. dengan terlantiknya jawatan itu bermulalah episod yang membebankan aku kerana pertama kali mengajar bahasa arab tingkatan tiga. ditambah lagi dengan sikap pelajar 3A yang ‘tidak berapa rajin’ menghafaz dan mengulangkaji tajuk yang telah dipelajari.

dengan calon yang mengambil b arab seramai 21 orang aku menggandakan usaha dengan kelas tambahan setiap pagi jumaat selama tiga jam ( 8.30-11.30 ).aku puji sikap pelajar ini yang rajin datang belajar termasuk kelas tambahan, namun sikap yang mengecewakan ialah tidak rajin menghafaz tharwah ( perbendaharaan kata) yang amat penting untuk menggapai A dalam b. Arab.

peperiksaan pertengahan tahun, seramai 2 orang yang mendapat A walaupun soalan diakui oleh semua guru b. arab sebagai amat luar biasa susahnya.

anak-anak didikku menghadapi peperiksaan percubaan pmr. aku jangkakan ramai akan mendapat A kerana soalan yang agak mudah pada pandanganku. amat-amat mengejutkan! seramai 14 orang mendapat A, 6 orang dapat B dan seorang C. keputusan yang luar biasa.

apa ada dengan 14 A. itu hanyalah percubaan. tidak payah nak syok sendiri. target ialah pmr yang sebenar. ramai yang teruja dengan keputusan itu termasuk tuan pengetua tn hj pi remli che ishak. subjek lain juga terkena tempias result b arab ini.

peperiksaan semakin hampir. kelas tambahan terus berjalan, latihan digandakan. setelah program kecemerlangan pmr berlangsung, subjek b arab agak perlahan ekoran masalah masa. pelajar dikerah kudratnya habis-habisan. kelas pagi, petang dan malam termasuk cuti hujung minggu. kelas bahasa arab ditangguhkan untuk beri laluan subjek lain.

tibalah saat yang ditunggu-tunggu, para pelajar berjuang dalam pmr untuk mendapat keputusan terbaik dan kertas bahasa arab pada hari yang terakhir. aku berasa amat bimbang, gementar dan gemuruh. doa dipanjatkan tanpa henti mengiringi ‘perjuangan’ anak-anak didikku yang diasuh selama 9 bulan dengan penuh ketekunan dan harapan yang menggunung.

setelah tamat peperiksaan, aku bertanya khabar. mereka dengan yakin kata soalannya mudah. di sebalik pandangan pelajar itu ada sekelumit kebimbangan di hati aku kalau-kalau mereka ini over-confident.

aku, pelajar dan guru-guru menanti keputusan yang akan diumumkan pada akhir disember dengan penuh debaran.aku reda dengan apa-apa keputusan ilahi. sekiranya mencapai target, alhamdulillah. sekiranya gagal, itulah keputusan yang terbaik untukku dan untuk pelajarku. itulah yang terbaik daripada Rabb yang maha mengetahui.

bersama doakan…

foto-foto berkaitan b arab akan menyusul, insya Allah.

Posted in info Bahasa Arab | Leave a Comment »

blog khas panitia bahasa arab smkps

Posted by abusyameel on November 22, 2009

blog ini diwujudkan sebagai salah satu ikhtiar untuk kecemerlangan bahasa arab PMR sama ada untuk warga SMK Putri Saadong khasnya atau kepada sesiapa sahaja yang berminat dengan bahasa arab.

blog ini akan merekodkan perkara yang berkaitan dengan subjek Bahasa Arab PMR dan peristiwa yang berlaku di smk Putri Saadong. semoga laman ini memberi manfaat kepada sesiapa sahaja khasnya para pelajar yang mengambil subjek B Arab.

informasi, tips dan tutorial berkaitan bahasa arab akan didedahkan dari semasa ke semasa untuk rujukan sesiapa yang berminat untuk mempelajari Bahasa al-Quran ini.

semoga Allah mempermudahkan kita semua untuk mempelajari bahasa arab.

ustaz adnan bin ishak

ketua panitia bahasa arab

smk putri saadong

Posted in info Bahasa Arab | Leave a Comment »

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.